mutakhir

Hadiah kain hijau

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: “Arwah sempat menghadiahkan kain berwarna hijau kepada isteri saya dan mengadu tidak lena tidur ketika berkunjung ke rumah kelmarin,” kata Mohd Shahrul Anuar Mat Jusoh, 34, adik wanita yang maut bersama anak lelakinya akibat digilis treler di Kampung Badak di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Norhayati Mat Jusoh, 41, yang menunggang motosikal Honda EX-5 dibonceng anak lelakinya, Noor Husaini Akhyar Noor Hasnan, 16, maut di tempat kejadian selepas parah di kepala dan kaki.

Motosikal ditunggang Norhayati melanggar sisi Toyota Hilux sebelum mereka jatuh ke laluan bertentangan dan digilis treler dari arah bertentangan.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Mohd Shahrul berkata, arwah yang bekerja sebagai penjual pau di pasar malam, ada tujuh anak termasuk baru melahirkan anak ketujuhnya dua bulan lalu.

Katanya, arwah rapat dengan anaknya dan sering menyambut hari ibu bersama-sama.

“Sebelum kejadian arwah sempat menghadiahkan kain pasang kepada isteri saya (Nik Zulita Nik Wil, 29) untuk dipakai sedondon dengannya pada kenduri keluarga 1 Jun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa menunggang motosikal dipercayai dari Bachok-Jelawat pulang ke rumah mereka di Kampung Cherang Sepulai, Cabang Tiga Melawi.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar sisi Toyota Hilux dan jatuh ke laluan bertentangan sebelum digilis treler,” katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2015 @ 1:20pm
d