mutakhir

'Maafkan mama'

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: “Sebelum koma, mama meminta saya berjumpa dengan kawan-kawannya dan meminta maaf di atas segala salah dan silapnya, itu hasrat mama dan jadi saya harap kawan mama dapat memaafkan segala kesilapannya,” kata Mohamad Ruzainie Rizman Mohamad Radzi, 27.

Anak sulung bekas Ketua Wiranita Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Raihan Sulaiman Palestine, 49, itu berkata ibunya meninggal dunia di Hospital Putrajaya (HPj) jam 1.50 pagi semalam akibat serangan jantung.

Menurutnya, beberapa hari sebelum dimasukkan ke hospital arwah ibunya pernah mengatakan akan ‘pergi’.

“Mama dimasukkan ke hospital malam Selasa minggu lalu selepas mengadu sakit dada sejak pagi dan kelihatan lemah. Arwah memang ada penyakit darah tinggi tetapi terkawal dengan pengambilan ubat.

“Keesokan harinya selepas bersarapan arwah mengadu sakit kepala sebelum tidak sedarkan diri akibat perdarahan dalam kepala, hinggalah menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui media di Tanah Perkuburan Presint 20, semalam.

Allahyarhamah meninggalkan seorang suami Mohamad Radzi Kassim dan empat lagi anak Ruhaily Izzati, 22; Mohamad Rafly Irfan, 20; Ruhaily Irfahany, 14 dan Mohamad Denial Haikal, 8.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah disembahyangkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) Putrajaya kira-kira jam 11 pagi, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, pada jam 11.45 pagi.

Mohamad Ruzainie Rizman berkata, arwah ibunya adalah seorang yang sangat ‘sporting’ dan sempoi, selain amat rapat dengan anak-anak.

Sementara itu, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau mengenali arwah sejak lebih 20 tahun lalu sebelum dilantik sebagai Ketua Wiranita PERKASA yang pertama dari 2009 hingga 2011.

Disiarkan pada: May 12, 2015 @ 8:39am
d