mutakhir

Kertas siasatan isu lambang salib lengkap

Shah Alam: Polis sudah melengkapkan dan menghantar kertas siasatan berhubung kes bantahan penduduk terhadap lambang salib di Petaling Jaya, kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya, semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kertas siasatan itu sudah dihantar dan terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk mendakwa atau sebaliknya.

Menurutnya, polis juga sudah merakamkan percakapan peserta perhimpunan berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kami sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kejadian itu kepada Timbalan Pendakwa Raya pagi tadi (semalam) untuk pihak pendakwaan membuat keputusan.

“Namun terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Pada 19 April lalu, bantahan terhadap pemasangan lambang salib di luar rumah kedai yang digunakan sebagai gereja di kawasan Taman Medan, Petaling Jaya dilakukan sekumpulan penduduk kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata, polis masih menyiasat individu yang menyiapkan sekeping nota bertaip ditemui pada mayat seorang wanita yang dicampak dari jambatan di Pulau Meranti, Cyberjaya, 6 Mei lalu.

Katanya, ia penting bagi mengetahui tujuan surat itu dibuat dan setakat ini polis percaya kejadian pembunuhan itu bermotifkan cemburu antara suspek yang juga tunang mangsa.

Mayat seorang wanita ditemui dalam belukar di bawah jambatan susur keluar Putrajaya ke Pulau Meranti di sini jam 5 petang hari itu.

Wanita terbabit dikenali sebagai Rosshida Abdullah berasal dari Pasir Mas, Kelantan ditemui bersama sekeping nota serta beg tangan berwarna putih.

Nota yang ditemui pada mayat wanita itu antara lain menceritakan masalah dihadapi termasuk tertekan kerana diburu along ekoran hutang RM50,000 gagal dilunaskan.

Sehingga kini, tunang mangsa masih ditahan polis untuk siasatan lanjut dan tiada sebarang tangkapan baru dibuat kerana hanya seorang suspek terbabit dalam kejadian itu.

Disiarkan pada: May 12, 2015 @ 8:44am
d