mutakhir

Teruja cakap bahasa Melayu

Kevre: Tugas sukarelawan Kelab Ekspedisi Global (GEC) untuk merawat mangsa gempa bumi sepanjang tujuh hari misi bantuan perubatan dipermudahkan apabila ramai warga tempatan sudi membantu sebagai jurubahasa.

Ramai dalam kalangan mereka pernah bekerja di Malaysia dan seolah-olah teruja bercakap bahasa Melayu apabila pasukan memperkenalkan diri dari Malaysia.

Ramai dalam kalangan mereka kini tidak bekerja kerana tiada pekerjaan boleh dilakukan dan semua mereka dihimpit kemiskinan.

Sekali pun rumah mereka ranap dan berteduh di bawah khemah, namun kedatangan sukarelawan dari luar negara disambut dengan senyuman.

Jelas mereka berasa lega kerana ada pihak mengambil berat kebajikan mereka.

Dalam kunjungan di sebuah kampung pedalaman di Madhavsthah, di sini sekurang-kurangnya tiga penduduk boleh berbahasa Melayu.

Walaupun tidak fasih, tetapi mereka membantu doktor memberi penerangan mengenai sakit dialami mangsa dan cara mengambil ubat diberikan.

Seorang penduduk, Sudarshah Lamsu, 35, berkata, dia bangga dapat membantu walaupun sumbangan diberikan amat kecil.

Katanya, penduduk berasa lega kerana ada pihak luar datang ke kampung mereka untuk membantu.

“Saya boleh cakap Melayu. Tapi sikit-sikit, asalkan faham ..oklah,” katanya yang pernah empat tahun bekerja di kedai kek dan roti di Kepong.

Rakan sekampungnya, Purushattan,43, berkata, kedatangan misi bantuan perubatan GEC baik untuk semua penduduk memulakan kehidupan.

Menurutnya, ada penduduk yang tidak cukup tidur sejak gempa bumi lalu kerana khuatir gempa akan berlaku lagi.

“Jadi apabila ada bantuan terutama doktor dari luar negara datang dan merawat mereka, pasti mereka akan berasa lega walaupun masalah kesihatan dialami hanyalah sakit kepala dan sakit belakang,” katanya yang kini membuka perniagaan membela ayam daging sebaik pulang dari Malaysia dua tahun lalu.

Menurutnya, selama bekerja lapan tahun di Puchong, dia mengumpul wang untuk membuka perniagaan sebaik pulang.

“Saya bersyukur kerana datang ke Malaysia dan ia mengubah hidup saya kini. Walaupun rumah saya juga mengalami kerosakan, tetapi ia boleh dibaiki semula,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2015 @ 8:48am
d