mutakhir

'Soal ikhlas hanya Tuhan tahu'

Kuala Lumpur: “Niat saya hanya mahu buat adik Amira ceria. Soal ikhlas atau tidak itu dalam hati saya dan hanya Tuhan saja yang tahu.”

Itu reaksi pelawak Zizan Razak berhubung provokasi pihak tertentu yang mendakwa dia menunjuk-nunjuk bersikap prihatin terhadap anak mangsa kemalangan maut di Lebuhraya DUKE, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7.

Zizan ketika dihubungi berkata, pihak yang mencetuskan tuduhan itu membuat andaian sendiri tanpa mengetahui niatnya yang sebenar.

“Biarlah mereka hendak anggap atau tuduh apa-apa pun. Yang penting saya bertemu adik Amira untuk mengukirkan sedikit senyuman dan kegembiraan kepada dia yang sedang berduka.

“Lagi pun ketika saya berjumpa dia minggu lalu dia kata dia kenal saya menerusi program Ceria Popstar. Sudah kebetulan saya terbabit dengan program itu jadi apalah salahnya saya ceriakan adik Amira dengan menjemput dia ke sana,” katanya.

Cemuhan yang tidak masuk akal itu ditimbulkan pihak tertentu terhadap Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 31, kononnya mahu menunjuk bersikap baik dan prihatin apabila berkongsi gambarnya dengan Amira di Instagram.

Ia berpunca daripada kunjungan pelawak itu ke rumah nenek Amira dan adiknya Nur Firuza Aqila, 4, di Taman Batu Muda Gombak di sini, minggu lalu.

Situasi bertambah keruh apabila Zizan mengundang Amira menonton Ceria Popstar di studio, kelmarin.

Zizan berkata, dia tidak akan membalas apa juga pertikaian yang timbul berhubung tindakannya bertemu kanak-kanak itu.

Disiarkan pada: May 12, 2015 @ 9:43am
d