mutakhir

Sarjan jadi drebar sementara

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Kesedihan tujuh murid sekolah yang lewat untuk menghadiri peperiksaan akibat kesilapan pemandu bas sekolah menyebabkan seorang anggota polis Trafik Kuala Lumpur berpangkat sarjan sanggup menjadi ‘pemandu sementara’ untuk kanak-kanak itu.

Meskipun tegas ketika menjalankan pemeriksaan Ops Roda, Sarjan Penguatkuasaan/Operasi Ruhaizad Abd Latip menjadi prihatin dan sedih sebaik kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga sembilan tahun mula menangis apabila pemandu bas sekolah ditahan dalam pemeriksaan.

Ruhaizad kemudian membawa kereta pasukan dan menghantar semua pelajar itu ke sekolah masing-masing bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan tepat pada masanya.

Ketika sepasukan polis dari Bahagian Kuatkuasa Trafik Kuala Lumpur menjalankan Ops Roda di kawasan perumahan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Sentul semalam, bas sekolah yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati, pemandu bas sekolah sanggup menggadai nyawa pelajar semata-mata untuk mencari punca pendapatannya apabila dia menggunakan ‘bas potong’ berusia 35 tahun yang tidak lagi dibenarkan untuk berada di atas jalan oleh Puspakom.

Lebih mengejutkan, lelaki itu tidak memiliki lesen memandu berikutan pernah terbabit dalam kes kemalangan maut dan sudah menjalankan perniagaan bas sekolah itu sejak dua tahun lalu.

Tindakannya yang membahayakan nyawa pelajar sekolah yang dibawanya itu akhirnya menemui titik noktah semalam selepas kenderaannya disita untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi yang diketuai Asisten Superintendan Sahimi Husin bersama seorang pegawai lain dan 22 anggota bermula jam 12.30 tengah hari semalam memberi fokus kepada pelajar sekolah yang membawa kenderaan tanpa lesen memandu dan topi keledar.

“Pada masa sama kami menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan lain yang terbabit dengan pelajar sekolah seperti bas sekolah dan ketika ditahan, pemandu bas sekolah itu membawa tujuh orang pelajar sekolah yang dalam perjalanan ke sesi petang sekolah.

Dalam operasi yang sama, 115 saman dikeluarkan ke atas pelajar sekolah di mana 12 daripadanya atas kesalahan tiada lesen memandu, 18 atas kesalahan tidak memakai topi keledar, tujuh atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan selebihnya atas kesalahan lain.

“Sebanyak 19 motosikal pula disita atas pelbagai kesalahan dan operasi yang memberi fokus kepada kawasan sekolah akan diteruskan,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2015 @ 9:59am
d