mutakhir

Jiwa murni didik budak kurang upaya

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Sewaktu dalam perjalanan pulang daripada menziarahi ibu bapa di Kuantan, Pahang mata terpandang pada satu kain rentang ‘Kejohanan Balapan dan Padang, Pendidikan Khas’ berdekatan sebuah sekolah.

Terdetik di hati untuk singgah dan memasuki perkarangan sekolah berkenaan bagi menyaksikan sendiri kejohanan itu.

Anak sulung saya, Ahmad Fauwaz bertanya: “Kita hendak ke mana pula, bukankah kita hendak balik ke Muadzam?”

Sebenarnya, bukan dia saja yang kehairanan, tapi mungkin juga ibunya kerana tidak termasuk dalam perancangan awal kami sekeluarga.

Lantas saya memberitahunya untuk melihat murid yang bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas mengambil bahagian dalam sukan olahraga.

Selepas meletakkan kereta di kawasan parkir, kami sekeluarga mendekati padang. Anak lelaki bongsu, Ammar Fayadh seakan-akan kehairanan dengan apa yang dia lihat, lalu bertanya: “Abi, mengapa mereka berjalan berpimpin tangan dengan cikgu mereka?”

Memang itulah tujuan saya membawa anak dan isteri menyaksikan murid kurang upaya mengambil bahagian dalam sukan olahraga.

Tiada tujuan lain, semuanya atas matlamat supaya mata hati mereka sedar dan insaf bahawa ada insan lain yang kurang bernasib baik, namun tetap bersemangat dan bersikap positif meneruskan hidup.

Seketika kemudian, kami sekeluarga cuba mendekati mereka. Saya berkesempatan berbual-bual dengan beberapa guru di situ yang asyik melayan kerenah murid mereka. Sejujurnya saya mengagumi sikap tabah dan dedikasi mereka.

Ketika berbual, seorang guru lelaki separuh umur dengan wajah penuh keringat di dahi masih sempat melemparkan kuntuman senyuman.

Dia kemudian berkata, guru tidak pernah menganggap murid kurang upaya sebagai satu bebanan.

“Mereka kami anggap sangat istimewa dan unik yang tidak akan ditemui di sekolah biasa. Memang sikap dan telatah mereka boleh memeningkan kami. Tetapi ia bukanlah penghalang buat kami terus mendidik mereka dengan panduan hidup yang terbaik,” katanya sambil menyifatkan murid terbabit adalah anak kesayangan Allah.

Sebagai guru katanya, dia teringin sekali ‘menumpang syafaat’ mereka di akhirat kelak.

“Anak murid kami yang istimewa ini adalah anugerah Allah, bukan saja kepada ibu bapa mereka, tetapi kurniaan besar untuk kami.

“Kalau kami berjaya mendidik mereka dengan didikan yang betul berpandukan ajaran Islam, jika diizinkan Allah akan memberkati kerjaya kami sebagai guru mereka,” katanya.

Saya terdiam mendengar penerangan guru terbabit. Apatah lagi apabila dia mengatakan ingin menumpang syafaat anak kesayangan Allah. Lantas mata saya memandang ke arah anak sendiri.

Kemudian, guru terbabit memohon untuk membawa muridnya melapor diri bagi acara seterusnya.

“Maaf encik, saya mohon diri dulu. Sebentar nanti anak kesayangan Allah ini akan mengambil bahagian dalam acara larian 100 meter,” katanya.

Dengan gigih meskipun mentari terik membakar kulit, guru itu sedikit pun tidak mengendahkannya. Lalu dia memimpin dengan penuh kasih sayang semua muridnya ke khemah urusetia bagi mendaftar sebelum acara dimulakan.

Alangkah mulianya hati guru. Semoga Allah mengurniakan keredaan dan keberkatan kepada mereka.

Bagi ibu bapa, sebenarnya tiada anugerah Allah yang paling agung melainkan anak soleh. Mereka bukan saja idaman dan kesayangan kita, tetapi juga kesayangan Allah. Tuhan sayang kepada orang yang baik-baik.

Penulis pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Disiarkan pada: May 13, 2015 @ 5:10am
d