mutakhir

Koleksi mata wang RM4,000 kena kebas

Kuala Lumpur: Seorang pekerja sebuah syarikat penerbangan kerugian lebih RM4,000 apabila koleksi mata wang pelbagai negara dan barangan berharga miliknya dilarikan penjenayah.

Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin, mangsa menyedari kejadian jenayah itu selepas pulang ke rumahnya di Taman Juara Jaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, siasatan awal polis mendapati penjenayah memecah masuk rumah mangsa berusia 39 tahun melalui tingkap rumah berkenaan.

Menurutnya, pihak polis menemui kesan pecah masuk pada tingkap rumah mangsa yang dipercayai diumpil suspek menggunakan besi.

“Mangsa mendakwa bilik tidurnya berselerak akibat digeledah suspek manakala barangan berharga miliknya lesap.

“Antara yang dilaporkan hilang adalah koleksi pelbagai jenis mata wang luar negara dianggarkan bernilai hampir RM3,000,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, mangsa turut melaporkan kehilangan seutas jam tangan miliknya yang dilarikan penjenayah.

Ab Rashid berkata, polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 13, 2015 @ 5:12am
d