mutakhir

Sudah lali tengok

Padang Besar: “Saya pernah beberapa kali menolong pelarian Rohingya dan Bangladesh yang tiba-tiba muncul di ladang getah ketika saya bekerja,” kata seorang peneroka di FELDA Mata Air, di sini.

Peneroka berusia lewat 50-an yang meminta identitinya dirahsiakan kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya berkata, dia membantu beberapa lelaki warga Rohingya dan Bangladesh yang datang meminta makanan ketika sedang menanam anak pokok getah.

“Saya bantu mereka atas dasar kemanusiaan kerana mereka dalam keadaan lemah. Ada yang tidak berpakaian lengkap, tidak berbaju dan berkasut.

“Mereka kurus kering. Mungkin tidak makan dalam tempoh lama,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Mengimbas kejadian itu, peneroka terbabit berkata, dia dan beberapa rakan yang sedang menanam anak pokok getah di kebunnya dihampiri warga Rohingya pertengahan tahun lalu.

“Lelaki itu hanya memakai seluar, tidak berbaju serta tidak berkasut. Tubuhnya kurus kering dan berusia 30-an. Dia minta makanan menggunakan bahasa isyarat.

“Saya hanya mampu beri air untuk membantunya sebelum dia menyusup ke dalam kebun dan hilang daripada pandangan mata,” katanya.

Menurutnya, itu bukan kejadian pertama dia didekati warga Rohingya, dan Bangladesh, tetapi sudah lali kerana kerap terserempak dengan mereka ketika bekerja di kebunnya.

“Pernah saya terserempak pada satu masa dalam anggaran 40 hingga 50 orang lalui kawasan kebun ini sebelum mereka (pelarian) hilangkan diri. Malah, ada yang merosakkan anak pokok getah yang baru ditanam.

“Kami di sini sudah lali dengan apa yang berlaku...asal jangan kacau kami sudahlah. Namun, pihak berkuasa perlulah kawal lebih ketat kawasan sempadan ini. Elakkan daripada ia dibolosi,” katanya.

Peneroka itu berkata, dia percaya pelarian Rohingya dan Bangladesh masuk ke FELDA Mata Air pada waktu malam antara jam 10 malam hingga awal pagi.

“Yang letih atau tidak bertenaga ditinggalkan. Saya percaya mereka masuk berkumpulan,” katanya yang yakin kawasan ladang getah miliknya dan penduduk lain di FELDA Mata Air itu menjadi laluan utama aktiviti penyeludupan manusia.

Menurutnya, ini kerana jarak ladang getah mereka dengan sempadan kurang 20 meter.

“Cuba lihat di situ...itulah bukit dijadikan kem tempat penyeludup simpan atau tahan warga Rohingya...jaraknya dari sini cuma dua atau tiga kilometer.

“Di sini kami panggil kawasan itu Bukit Telok, tetapi siam (di Thailand) panggil Bukit Balok (Bukit Khao Rup Chang) di mana kem yang ditemui 32 kubur di Thailand.

“Dari Bukit Telok itu ke sini mungkin ambil masa beberapa jam perjalanan...sebaik tiba, mereka (warga Rohingya/Bangladesh) akan guna tangga panjat tembok sempadan sebelum masuk ke negara kita,” katanya.

Menurutnya, sebaik masuk ke kawasan itu, mereka akan menyelinap masuk ke kebun getah sebelum menghilangkan diri.

“Saya tidak pasti sama ada tekong dan kenderaan siap sedia menunggu mereka, namun dari sini ke jalan utama sememangnya sudah dekat,” katanya.

Ditanya pernah atau tidak pihak peneroka memaklumkan kejadian itu kepada pasukan keselamatan yang mengawal sempadan berkenaan, beliau mengakuinya, namun tiada tindakan dilakukan.

“Ada peneroka pernah serah warga Bangladesh mahupun Rohingya kepada pasukan keselamatan kerana ketika ditemui mereka (pelarian) sudah tidak larat (lemah).

“Namun, tiada sebarang tindakan susulan kerana masih ramai yang saya dan peneroka lain jumpa lepas itu,” katanya sambil memberitahu kali terakhir melihat kelibat pelarian di kawasanitu Februari lalu.

Tambahnya, sejak dua tahun lalu puluhan dan ratusan warga Rohingya dan Bangladesh sudah melalui kawasan kebun itu untuk masuk ke negara ini sebelum dibawa keluar melalui laluan utama.

Tinjauan wartawan Harian Metro di kawasan berkenaan mendapati, tiada kawalan dilakukan di pos pengawal berhampiran sempadan dipercayai digunakan pelarian untuk lolos ke negara ini.

Malah, jurugambar Abdullah Yusof juga sempat merakamkan pos kawalan keselamatan yang tiada penjaga di kawasan sempadan.

Disiarkan pada: May 14, 2015 @ 4:40am
d