mutakhir

Masuk jel 30 hari

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Seorang lelaki warga Jerman dijatuhi hukuman penjara satu bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah atas dakwaan membuat gangguan dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) Sabtu lalu.

Tertuduh, Dietmar Ross, 54, kelihatan tenang serta mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Ahli perniagaan itu diwakili peguam, Zaflee Pakwanteh manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya B Umadevi.

Mengikut kertas pertuduhan, Dietmar dituduh melakukan kesalahan itu pada 9 Mei lalu jam 11.45 malam semasa dalam pesawat MH179 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Colombo, Sri Lanka.

Tertuduh dengan cuai membahayakan anggota kru penerbangan udara, Phuah Soh Kin, 48, dengan meninggikan suara dan tidak mengikut peraturan dalam pesawat serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa di bawah Peraturan 70(1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 1969 yang boleh dihukum mengikut Peruntukan 188(7) di bawah peraturan yang sama dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Zaflee memohon mahkamah mengenakan hukuman denda kepada anak guamnya.

Bagaimanapun, Hakim Aizatul Akmal Maharani menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditahan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan pesawat MAS MH179 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Colombo berpatah balik berikutan masalah seorang daripada penumpang dalam pesawat itu.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, pesawat berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang masalah teknikal.

Disiarkan pada: May 14, 2015 @ 5:04am
d