mutakhir

STING lumpuhkan sindiket seludup dadah RM100j

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM100 juta yang diseludup bersama sayur-sayuran.

Sumber berkata, risikan polis mendapati dadah itu dipercayai disembunyikan di dalam kontena bersama pelbagai sayuran.

Menurutnya, dadah dipercayai dibawa masuk dari China itu kemudian dipindahkan sindiket di sebuah kilang dan rumah kediaman di Sri Damansara di sini, yang dijadikan stor menyimpan dadah itu.

“Serbuan dilakukan jam 4.40 petang kelmarin, dan polis memberkas lima lelaki dan seorang wanita yang disyaki dalang sindike itu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui bungkusan berisi lebih 220 kilogram (kg) syabu, serbuk dan pil ecstasy seberat lebih 132 kg selain dadah ketamin dan Erimin 5 melebihi 18 kg,” katanya.

Difahamkan semua suspek dibawa ke Balai Polis Sri Damansara di sini, untuk diambil keterangan sejurus diberkas.

“Rampasan dadah itu adalah kejayaan terbaru pasukan STING dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang berusaha gigih mematahkan sindiket penyeludupan dadah ke negara ini.

“Dadah itu dipercayai bakal dijual untuk pasaran tempatan. Malah harga dadah itu yang melambung tinggi di negara jiran memungkinkan ia diseludup ke Indonesia,” katanya.

Difahamkan semua suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Merbahaya 1952.

Sebelum ini, pasukan STING turut berjaya merampas dadah jenis Erimin 5 berjumlah 410 kg di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 1Mei lalu.

Seramai lapan individu turut diberkas polis selepas didapati menyembunyi 1.4 juta pil dadah itu bernilai RM21 juta di dua pusat urutan refleksologi.

Pasukan sama sebelum itu turut menahan seorang lelaki warga Nigeria dan merampas ganja seberat 21 kg di pangsapuri di Mentari Court, Petaling Jaya.

Disiarkan pada: May 14, 2015 @ 5:05am
d