mutakhir

Kejutan pilu

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Pasir Puteh: “Saya mahu membuat kejutan kepada arwah anak apabila bercadang menghantar hadiah jam tangan sempena hari lahirnya yang ke-16 semalam (kelmarin), namun ia tidak kesampaian apabila kami menerima berita kematiannya,” kata Wan Zaleha Wan Mohamad.

Wan Zaleha, 46, adalah ibu kepada Mohd Nor Akram Zime, 16, yang maut selepas ditendang pelajar senior dalam kejadian di sebuah kolej, dekat Bachok, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam, mangsa yang tidur di dalam bilik asrama bersama empat rakan lain dikejutkan suspek yang berusia 17 tahun sebelum dipukul dan ditendang dua kali di bahagian leher kanan hingga menyebabkan kematian.

Wan Zaleha yang masih bersedih dengan kematian anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, sebelum kejadian, jam 10 malam, anak kesayangannya menghubungi dan meminta hadiah sempena hari lahirnya.

Katanya, dia berniat untuk membuat kejutan iaitu mahu memberi hadiah jam tangan kerana ketika pulang bercuti sempena Hari Wesak dua minggu lalu arwah anaknya bergurau meminta jam tangan sempena hari lahirnya.

“Sebaik mendengar gurauannya itu, saya terus membeli jam tangan untuk dihadiahkan kepada anak pada hari istimewa, namun kami menerima berita paling mengejutkan apabila anak dipukul hingga maut.

“Hanya Allah SWT saja yang tahu perasaan saya dan suami selepas dimaklumkan guru asrama anak saya tidak sedarkan diri dan diminta ke Klinik Kesihatan Daerah Bachok.

“Saya akan simpan jam tangan itu sebagai kenangan tanda ingatan terhadap arwah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelam, di sini, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Zime Yaakob, 49, berharap individu yang menyebabkan kematian anaknya menerima hukuman setimpal.

Disiarkan pada: May 14, 2015 @ 5:06am
d