mutakhir

Kad prabayar harga asal

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Harga kad tambah nilai prabayar ditetapkan kembali dijual pada harga asal dalam tempoh enam bulan lagi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ia berikutan Kabinet bersetuju dengan cadangan kementerian supaya tambah nilai prabayar yang dijual pada harga RM10 akan mendapat nilai RM10 apabila diaktifkan.

Ahmad Shabery berkata, berdasarkan penetapan itu, pengenaan GST untuk tambah nilai prabayar akan dikenakan atas penggunaan (usage-based).

Menurutnya, kerajaan berpandangan cara berkenaan adalah lebih wajar kerana kerajaan tidak mengambil cukai sebelum perkhidmatan itu digunakan.

“Kita sudah bertemu syarikat telekomunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mencari waktu yang munasabah kerana kita tahu pelaksanaan sistem iaitu bayar RM10.60 dan dapat RM10 bagi kad tambah nilai mengambil masa kira-kira lapan hingga 10 bulan untuk disiapkan.

“Hal ini disebabkan ia membabitkan pelbagai lapisan seperti ejen pengedaran, selain pelbagai kaedah pembelian tambah nilai antaranya menerusi secara fizikal (dibeli di kedai), atas talian, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Atas faktor itu, beliau berkata, kerajaan mahu syarikat telekomunikasi laksanakan kaedah dan pendekatan sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.

“Buat sementara itu, pengenaan GST atas tambah nilai prabayar diteruskan pada kaedah sedia ada sehingga formula iaitu ‘beli RM10 dapat RM10’ dilaksanakan nanti,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, formula ‘beli RM10 dapat RM10’ memerlukan masa dan tidak boleh dilaksanakan serta-merta memandangkan kad tambah nilai sedia ada menggunakan sistem digunakan sekarang masih berada di pasaran.

“Jika tambah nilai prabayar ini digantikan serta-merta dengan yang baru, ia akan menimbulkan masalah seperi pengguna tidak boleh membuat panggilan.

“Ekonomi prabayar dalam negara adalah besar dan mencecah sehingga RM15 bilion setahun. Sebab itu kita tidak boleh menukarnya serta-merta dan tidak boleh terburu-buru,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, bagi mengimbangi kesan pengenaan GST, kementerian meminta syarikat telekomunikasi untuk menurunkan tarif perkhidmatan mereka serta menggesa untuk menawarkan pakej mampu milik kepada golongan sasar seperti pelajar.

Katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan supaya pelaksanaannya tidak merugikan rakyat selain ingin melihat tahap kualiti perkhidmatan yang baik daripada syarikat telekomunikasi.

Pada masa sama, beliau berkata, tidak mustahil bagi syarikat telekomunikasi untuk menurunkan tarif perkhidmatan kerana sektor telekomunikasi adalah industri yang semakin lama semakin murah.

“Dahulu apabila diperkenalkan sistem prabayar, panggilan pertama dikenakan ialah RM2.40 seminit namun kini ia berkurangan sehingga 3.3 sen seminit.

“Bagi perkhidmatan SMS, ketika mula diperkenalkan 40 sen bagi setiap SMS dan kini berkurangan sehingga 0.01 sen,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2015 @ 5:08am
d