mutakhir

Ibu nampak asap tebal

Oleh Naqiukamil Abdullah

Shah Alam: “Syukur! Walaupun mengalami kerugian harta benda, namun semua pelajar terselamat,” kata guru, Abul A’la Iskandar, 25.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi semalam, sebahagian besar tingkat atas bangunan Madrasah Tahfiz Khairul Kalam, Jalan Kebun, Seksyen 32, di sini, musnah terbakar.

Abul berkata, seramai 26 pelajar madrasah itu berusia antara sembilan hingga 16 tahun sedang mengaji al-Quran.

“Ibu bapa seorang pelajar yang kebetulan menghantar anaknya ke madrasah itu memaklumkan ternampak asap tebal kebakaran di tingkat atas madrasah.

“Pihak pengurusan madrasah dan pelajar berusaha mengangkut air untuk memadamkan kebakaran itu.

Bagaimanapun, api merebak ke bahagian lain,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurutnya, tingkat atas bangunan yang dijadikan asrama pelajar musnah apabila kebanyakan peralatan seperti katil, selimut, bantal dan tilam terbakar.

“Saya berharap orang ramai sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kami.

“Pelajar serta kakitangan madrasah akan bergotong-royong membersihkan sisa kebakaran bagi membina semula struktur bahagian bangunan yang terbakar dapat digunakan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 7.38 pagi.

“Seramai 17 anggota bomba ke lokasi kejadian dan kebakaran membabitkan siling asrama. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, semua pelajar dan guru dipindahkan ke Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Jalan Kebun selama tiga hari.

“Buat masa ini, mereka dipindahkan untuk proses siasatan forensik dan membaik pulih bangunan itu.

“Pihak JKM bakal memberi sumbangan berbentuk barangan keperluan seperti bantal, tilam dan wang ehsan kepada pihak sekolah ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2015 @ 5:10am
d