mutakhir

Bapa, anak sama degil

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Bapa borek anak rintik. Itu berlaku apabila seorang lelaki ditahan polis kerana tidak memiliki lesen memandu kereta ketika cuba menjamin anak lelakinya yang turut ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen sah.

Lelaki berusia 40-an itu disoal siasat polis sejurus muncul bagi ‘menyelamatkan’ anaknya berusia 16 tahun ketika operasi Ops Roda dilakukan polis berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa di sini semalam.

Ketika ditahan untuk pemeriksaan, lelaki itu memberi pelbagai alasan kononnya rekod lesennya sudah ada di dalam MyKad selain terpaksa mengambil anaknya yang mengalami sakit perut di sekolah.

Namun lelaki itu akhirnya mengaku lesen memandunya sudah tamat tempoh sebelum keretanya disita.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang wanita didapati membenarkan anak perempuannya berusia 17 tahun memandu kereta Perodua Myvi ke sekolah tanpa memiliki lesen memandu sah.

Ketika ditahan, pelajar perempuan itu menangis dan mendakwa bimbang dimarahi ibunya.

“Ibu benarkan saya memandu sendiri ke sekolah jika dia tidak sempat menghantar kami. Ini bukan kali pertama saya memandu ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, ibu pelajar terbabit yang dipanggil ke lokasi sekatan jalan raya diadakan turut dikenakan saman.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, 67 saman dikeluarkan ke atas pelajar sekolah dan ibu bapa mereka manakala 25 motosikal dan sebuah kereta disita atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, operasi diketuai pegawai penguatkuasa Asisten Superintendan Sahimi Husin bersama seorang pegawai lain dan 22 anggota itu memberi tumpuan kepada pelajar sekolah yang melakukan kesalahan jalan raya.

Katanya, operasi trafik di sekolah dijalankan bagi memberi kesedaran kepada pelajar yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal dan tidak memakai topi keledar.

“Tahap kesedaran dalam kalangan ibu bapa masih rendah malah mereka sanggup menggadai nyawa anak dengan membenarkan mereka membawa kenderaan tanpa lesen sah,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2015 @ 5:20am
d