mutakhir

2 diculik dalam restoran

Oleh Mohd Razlan Saleh dan Junaidi Ladjana

Sandakan: Seorang wanita pemilik restoran berusia 50 tahun bersama seorang pelanggannya diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata M-16 di restoran makanan laut di Jalan Batu Sapi, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.40 malam, wanita terbabit, Thien Nyuk Fun, 50, dan Bernard Ghen Ted Fen, 39, dilarikan kumpulan bersenjata yang datang dari arah laut terus ke ruang makan restoran.

Difahamkan, beberapa pelanggan yang menyedari kejadian itu bertempiaran menyelamatkan diri sebaik melihat kelibat tiga individu bersenjata api termasuk salah seorang daripada mereka bersenjata M-16.

Namun, kedua-dua mangsa gagal menyelamatkan diri dan ditangkap lelaki berkenaan.

Menurut sumber tujuh lelaki menaiki dua bot laju dari Indanan, Kepulauan Jolo.

“Empat daripadanya menunggu di dalam bot dan semua mereka tidak bertopeng tetapi berpakaian celoreng,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga pengurus restoran terbabit, Chung Yun Thiam, 60, berkata ketika kejadian 80 pelanggan berada di dalam restoran berkenaan.

“Kejadian berlaku sangat pantas dan semua pelanggan yang berada di restoran itu bertempiaran lari.

“Bagaimanapun, dua mangsa tidak sempat keluar dari restoran menyebabkan mereka dilarikan penculik,” katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian itu.

Disiarkan pada: May 15, 2015 @ 9:03am
d