mutakhir

Pencuri balak ceroboh hutan lima pulau

Kuching: Beri betis, nak paha. Itu ungkapan sesuai menggambarkan kerakusan sebuah syarikat pembalakan berlesen di negeri ini apabila mengambil kesempatan menceroboh kawasan hutan lima pulau di kawasan Empangan Bakun, Belaga, untuk mencuri balak.

Difahamkan, syarikat pembalakan itu diberikan lesen untuk mengambil balak dalam air, kira-kira lima kilometer di sekeliling kawasan empangan bagi mengelakkan balak itu mengganggu sistem hidro di Empangan Bakun.

Syarikat berkenaan dipercayai mengambil peluang itu dengan menceroboh serta menebang balak dalam kawasan pulau berkenaan sehingga hampir 40 peratus balak di setiap pulau itu ditebang.

Bagaimanapun Sistem Taktikal Bersepadu Udara (CATS) Jabatan Perhutanan Sarawak berjaya mengesan kegiatan itu dari udara dan menyaksikan kawasan hutan di pulau itu hampir gondol dirompak pihak tidak bertanggungjawab terbabit.

Sumber berkata, syarikat pembalakan berkenaan bertindak mengapungkan balak yang dicuri itu di dalam air supaya ia kelihatan seperti balak yang mereka ambil secara sah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Berdasarkan tinjauan udara dan pemeriksaan, ada empat hingga lima pulau sudah diceroboh. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, mereka mengapungkan beberapa balak di beberapa kawasan sekeliling pulau supaya kelihatan seperti balak dalam air.

“Kem pembalakan ini terletak di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai akses masuk kecuali menggunakan helikopter dan bot, malah tinjauan udara yang dilakukan Jabatan Perhutanan Sarawak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa kira-kira 50 minit penerbangan untuk ke kawasan itu,” katanya.

Dalam pemeriksaan di Bakun, Operasi Bersepadu Op Gergaji yang membabitkan SPRM, Jabatan Perhutanan Sarawak, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas kira-kira 600 balak haram.

Balak yang dirampas mempunyai nilai royalti RM300,000 dan mendapati balak itu tidak mempunyai permit serta dokumen sah mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 1958.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohamad Jamidan Abdullah berkata, sehingga kelmarin sebanyak 49 kawasan pembalakan di negeri ini diserbu.

Beliau berkata, daripada 49 lokasi yang diserbu, 27 daripadanya terdiri daripada kilang papan dan kolam pembalakan, manakala bakinya adalah premis perniagaan yang terletak di Miri, Kuching, Sibu, Bintulu, Bakun dan Kapit.

“Dalam serbuan Op Gergaji selama dua hari itu berjaya merampas 1,800 kayu balak haram dengan nilai royalti sebanyak RM900,000.

“Seramai 10 individu terdiri daripada pemilik dan penyelia kilang papan diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung perbuatan rasuah, aktiviti pembalakan dan penebangan hutan tanpa lesen,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Operasi bersepadu membabitkan kira-kira 400 pegawai dan anggota diketuai SPRM dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Disiarkan pada: May 15, 2015 @ 9:18am
d