mutakhir

RMK-11 jadi tanda aras

Limbang: Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang akan dibentangkan bulan ini bakal menjadi penanda aras terhadap sistem pendidikan negara seiring dengan hasrat mencapai negara maju menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, RMK-11 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 21 Mei ini, menjadi pintu atau tingkap sebagai kerajaan berusaha meletakkan sistem pendidikan antara terbaik di dunia.

Beliau berkata, untuk langkah permulaan Kementerian Pendidikan sudah selesai merangka belanjawan untuk disenaraikan dalam RMK-11.

“Tidak perlu saya menyebut angkanya kerana kerajaan mempunyai matlamat untuk membina sistem pendidikan terbaik di negara. Menerusi sistem ini (pendidikan terbaik) kerajaan berusaha menyampaikan agenda diperlukan terutama melahirkan pelajar cemerlang pada masa akan datang.

“Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan RMK-11, kita menilai segala cadangan yang akan dilaksanakan. Ini termasuk menyediakan kemudahan diperlukan di sekolah di seluruh negara,” katanya ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Sekolah Menengah Kebangsaan Limbang, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan negeri Datuk Amar Abang Johari Openg dan Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah.

Disiarkan pada: May 15, 2015 @ 9:39am
d