mutakhir

Cecah kaki ke air

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Bagan Datoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke Beting Beras Basah, di sini, semalam, bagi melengkapkan Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35.

Berpakaian baju Melayu berwarna coklat cair, baginda tiba di jeti Bagan Datoh jam 6.45 pagi disambut orang ramai yang menunggu di kawasan berkenaan seawal jam 6 pagi.

Selepas doa dan selawat dibacakan, Sultan Nazrin diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti menaiki bot amphibian milik Jabatan Bomba dan Penyelamat ke Beting Beras Basah yang terletak 1.5 batu nautika dari jeti berkenaan.

Bot dinaiki Sultan Nazrin tiba di kawasan berkenaan jam 7.15 pagi dan kira-kira tiga minit kemudian, baginda diiringi Muhammad Afifi mencecahkan kaki ke dalam air paras lutut dan membasuh muka bagi menandakan baginda selamat sampai di situ.

Muhammad Afifi kemudian membaca doa dan melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali disambut orang ramai di kawasan berkenaan sebelum baginda kembali menaiki bot untuk beredar jam 7.25 pagi.

Orang ramai dan pengamal media yang menunggu di jeti pelancongan Beting Beras Basah di Kampung Sungai Balai sejak subuh turut berpeluang melihat istiadat itu dari jarak 500 meter di kawasan beting berkenaan.

Selesai upacara, baginda berkenan menjamu selera bersama orang ramai di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh.

Beting Beras Basah adalah simbolik tempat persinggahan pertama Sultan Mudzaffar Shah yang menjejakkan kaki ke Perak sebaik tiba dari Kampar, Sumatera, selepas dijemput menjadi Sultan pada 1528.

Menjejakkan kaki ke Beting Beras Basah adalah adat utama terakhir dilakukan dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak selepas Istiadat Meletak Kerja Pertabalan pada 3 Mei lalu diikuti istiadat Tabal Adat, Mengambil Air Bersiram Tabal di tujuh kuala Sungai Perak, Tabal Pusaka, Bersiram Tabal serta Menziarahi Makam Sultan dan Raja terdahulu.

Acara Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 secara rasmi berakhir menerusi Majlis Menutup Kerja di Istana Iskandariah pada Ahad ini.

Disiarkan pada: May 15, 2015 @ 9:42am
d