mutakhir

'Transit' terbesar

Satu lagi kem tahanan etnik Rohingya dari Myanmar dan warga Bangladesh ditemui di sempadan Malaysia-Thailand, kelmarin.

Polis Thailand menyifatkan penemuan terbaru itu sebagai kem tahanan ataupun ‘transit’ terbesar sehingga mampu ‘menyimpan’ lebih 1,000 pelarian dalam satu masa selain lokasinya yang paling dekat dengan Malaysia.

Penemuan kem kedua itu disahkan jurubahasa yang dipanggil polis Thailand bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan, Nur Muhammad yang berkata, sehingga kini pihaknya menemui tiga mayat dan jumlahnya dipercayai akan meningkat lagi di kawasan kem berkenaan.

Memperincikan lokasi kedua kem itu, Nur Muhammad berkata, kem yang berada di Bukit Khoateaw bersempadan antara Rattapum-Hatyai itu hanya terletak kira-kira tiga kilometer (km) daripada lokasi penemuan kem pertama di puncak Bukit Khao Rup Chang, Padang Besar Thailand.

“Kem ini lebih lengkap daripada kem sebelumnya (kem di Bukit Khao Rup Chang) ada 21 tempat tidur, lapan tandas, dua menara pemerhati, empat dapur dan balai besar yang dalam proses pembinaan. Semua itu dibina menggunakan kayu hutan, buluh dan kain kanvas,” katanya kepada Harian Metro, semalam sambil memberitahu, kem itu dipercayai sudah dibina sejak setahun lalu.

Sementara itu, pemandu arah yang membantu Harian Metro sepanjang membuat liputan berkenaan memberitahu, polis Thailand turut menemui barangan keperluan seperti makanan dan pakaian yang dilaporkan ditinggalkan pelarian sebelum menyusup masuk ke Malaysia.

Jurucakap polis Thailand turut memberitahu Harian Metro kem kedua yang ditemui itu terletak cukup dekat dengan kawasan Malaysia.

“Ada khemah yang didirikan juga sudah masuk kawasan Malaysia (Perlis),” katanya.

Harian Metro difahamkan, penemuan tiga mayat terbaru di kem kedua itu menjadikan 35 mayat keseluruhan dipercayai etnik Rohingya dan warga Bangladesh ditemui di Songkhla setakat ini, selepas penemuan 32 mayat dalam lebih 20 kubur di Bukit Khao Rup Chang pada 2 Mei lalu.

Harian Metro bermula Selasa lalu menerusi laporan khas melaporkan kegiatan penyeludupan manusia membabitkan sindiket terancang didalangi pemimpin politik, pegawai dan anggota polis Thailand termasuk warga Malaysia dikesan bermaharajalela di kawasan berkenaan.

Penahanan ahli sindiket pemerdagangan manusia itu dilakukan pasukan keselamatan negara gajah putih itu selepas satu laporan polis dibuat ahli keluarga pelarian yang diseksa selepas keluarganya itu gagal membayar tebusan RM9,500.

Harian Metro difahamkan, keluarga mangsa pelarian yang diseksa itu sudah membayar RM5,000, tetapi ahli sindiket tetap tidak berpuas hati dan masih menyeksanya sehingga laporan polis terpaksa dibuat abang dan keluarganya itu.

Susulan laporan itu, serbuan dilakukan di puncak Bukit Khao Rup Chang sebelum membongkar penemuan 32 mayat di kubur berhampiran kem tahanan berkenaan. Bagaimanapun, ada dakwaan mengatakan kerajaan Junta Thailand yang sebenarnya berusaha memerangi kegiatan pemerdagangan manusia yang sememangnya diketahui sudah bermaharajalela sejak lebih lima tahun.

Di Malaysia, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua anggota polis yang dipercayai ‘membuka laluan’ ataupun memberikan kebenaran kepada pelarian lolos masuk ke kawasan Malaysia ditahan antara Mac hingga April 2015.

Dalam kenyataan itu, Khalid berkata, dua anggota polis berusia 47 dan 26 tahun itu bertugas di sebuah balai polis di utara tanah air dipercayai berperanan sebagai memberi laluan selamat kepada sindiket untuk membawa pelarian melepasi kawasan sempadan.

Disiarkan pada: May 15, 2015 @ 10:05am
d