mutakhir

Aqil perlu RM45,000

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun empat bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan sumbangan RM45,000 bagi menampung kos perbelanjaan pembedahan di Hospital Gleneagles.

Kanak-kanak berkenaan, Muhammad Aqil Arfan Mohd Saupi, dari Kampung Gong Pasir, Pasir Putih, Kelantan disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia sebulan.

Ibunya, Normazura Ali, 37, berkata, anaknya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kota Bharu (HKB) selama hampir dua bulan sebelum dirujuk kepada pakar perunding pediatrik di Hospital Gleneagles, di sini.

Katanya, dia sekeluarga risau dengan keadaan kesihatan Muhammad Aqil sekiranya pembedahan menutup lubang di jantung anaknya itu lambat dilakukan.

“Muhammad Aqil memerlukan pembedahan segera kerana kesihatannya kini semakin merosot selain masih dirawat di ICU.

“Badannya juga semakin hari semakin lemah dan tidak seceria dulu.

“Saya sekeluarga bimbang anak bertambah kritikal jika kami gagal mengumpul wang yang diperlukan dengan segera,” katanya.

Katanya, jumlah RM45,000 itu terlalu besar untuk dikumpul dalam masa terdekat kerana suaminya hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin menyumbang boleh menulis cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan nama pesakit dinyatakan di belakang cek dan menghantarnya kepada Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Aras 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: May 16, 2015 @ 5:17am
d