mutakhir

Jenazah tiba

Sepang: Suasana pilu menyelubungi ketibaan jenazah isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datin Habibah Mahmud yang terbunuh dalam nahas helikopter terhempas ke atas sekolah di utara Lembah Naltar, Pakistan minggu lalu.

Jenazah Allahyarhamah tiba ke tanah air jam 9.25 malam tadi dibawa menaiki pesawat C130 milik tentera udara Pakistan dari Islamabad ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut berada dalam pesawat berkenaan mengiringi jenazah ialah suami Allahyarhamah, Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar dan Menteri Pendidikan Persekutuan dan Latihan Profesional Pakistan Muhammad Baligh-ur-Rehman.

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin dan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Hassan Raza serta ahli keluarga menyambut ketibaan jenazah.

Jenazah dibawa menaiki van ke rumah adik Allahyarhamah di Batu Pahat, Johor dan dijangka dikebumi jam 8 pagi hari ini di Tanah Perkuburan Parit Yusof Darat, Kampung Parit Masjid, Muar.

Sebelum ini, media melaporkan Habibah antara enam yang terbunuh apabila helikopter dinaiki terhempas ke atas sebuah sekolah di utara Lembah Naltar, Pakistan.

Suaminya, Hasrul dimaklumkan hanya cedera dan dirawat di Hospital Gilgit.

Turut terbunuh dalam nahas itu isteri Duta Indonesia, Duta Norway dan Duta Filipina serta juruterbang dan pembantu juruterbang.

Dalam sidang media semalam, Hamzah berkata, Hasrul Sani akan berehat buat sementara waktu bersama keluarganya sebelum menjalani rawatan seterusnya di Hospital Putrajaya.

“Kita juga mahu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pakistan serta takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam nahas ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Baligh berkata, kerajaan Pakistan akan menyerahkan laporan penuh berhubung nahas helikopter itu selepas siasatan lengkap dijalankan sepenuhnya.

Disiarkan pada: May 16, 2015 @ 5:25am
d