mutakhir

1,170 dapat rumah

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin dan Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Tiada kata lebih bermakna bagi 1,170 penyewa melainkan perasaan syukur apabila menerima kunci Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 1, di sini, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Bagi seorang guru agama, Fatimah Abdullah, 80, dari Taman Teratai Skudai, berkata, impiannya tinggal di rumah sendiri akhirnya terlaksana.

“Ketika ini, saya tinggal bersama anak dan sudah beberapa kali memohon untuk PPR ini sejak lima tahun lalu. Akhirnya saya bersyukur apabila mendapat kunci rumah hari ini (semalam).

“Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib mak cik selain gembira kerana PPR ini tersusun dengan pelbagai kemudahan asas untuk orang ramai,” katanya.

Bagi seorang jurujual makanan sejuk beku, Lim Beng Phor, 56, dari Taman Daya, di sini, gembira selain berterima kasih kepada kerajaan kerana menunaikan impiannya untuk tinggal di rumah sendiri dengan sewa serendah RM124 sebulan.

“Saya tidak mahu menyusahkan anak dan dengan bantuan perumahan ini saya gembira kerana dapat duduk di rumah sendiri,” katanya.

Bagi K Harilal, 64, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bandar raya ini, bantuan perumahan yang diterima amat bermakna kerana selama ini menghuni kawasan setinggan di Jalan Kolam Air di sini.

“Saya mendapat bantuan daripada wakil Barisan Nasional (BN) untuk memohon PPR ini. Saya dapati rumah yang disiapkan ini selesa selain dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk padang permainan kanak-kanak dan dewan serba guna.

“Keadaan rumah juga amat selesa kerana ada tiga bilik dan dua bilik air. Lokasinya juga amat baik kerana terletak di bandar yang memudahkan saya pergi bekerja,” katanya.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, kerajaan akan terus berkongsi kekayaan negara dengan rakyat melalui pembinaan lebih banyak PPR di seluruh negara.

Katanya, dasar ekonomi keperluan rakyat yang dilaksanakan kerajaan akan memastikan pembinaan rumah mampu milik akan diteruskan.

“Kerajaan sedar memiliki rumah bukan saja untuk berteduh tetapi memberi kesejahteraan dan pelbagai rahmat kepada rakyat.

“Oleh itu, kerajaan akan terus memindahkan kekayaan negara kepada rakyat dengan meneruskan pembinaan rumah mampu milik di seluruh negara,” katanya.

Projek dibina di atas tanah seluas 18.7 ekar itu merangkumi pembinaan 1, 170 unit rumah pangsa tiga blok membabitkan kos RM147.7 juta.

Projek fasa pertama bermula 1 Oktober 2009 dan siap sepenuhnya dengan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 13 November lalu.

Disiarkan pada: May 17, 2015 @ 5:12am
d