mutakhir

Nasib Nur Safiyya

Oleh Nazdy Harun

Marang: “Dalam seminggu isteri saya hanya pulang dua tiga kali ke rumah itu pun untuk tempoh satu hingga dua jam bagi menjenguk keluarga berikutan terpaksa menjaga anak bongsu yang berada Unit Rawatan Rapi (ICU) Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selain komitmen kerja seharian,” kata Mohd Kamal Md Zin, 42, dari Taman Tapai Indah, dekat sini.

Menurutnya, anak bongsunya Nur Saffiya Mohd Kamal yang berusia tujuh bulan kini di ICU sejak Februari lalu berikutan mengalami jangkitan paru-paru dan jantung berlubang.

Mohd Kamal yang juga seorang guru di Sekolah Rendah Wakaf Tapai berkata, anaknya kini berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dua anak saya iaitu Nur Qushairy, 15, dan Nur Khawarizmi, 14, terpaksa memikul tugas menjaga tujuh lagi adik-adiknya berikutan saya juga perlu ke HSNZ setiap hari.

“Setiap hari seawal jam 5 atau 6 pagi, saya akan pulang ke rumah atau terus ke sekolah untuk menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Menurutnya, lebih RM600 juga diperuntukkan untuk kos ulang-alik dari rumah ke HSNZ setiap hari dengan gaji bulanan miliknya dan isteri tentunya tidak mencukupi kerana perbelanjaan lain termasuk ansuran kenderaan, rumah dan perbelanjaan sembilan daripada 10 anaknya.

Katanya, dia berharap orang ramai membantu meringankan beban keluarganya kerana dia kini buntu memikirkan masalah kewangan untuk berulang-alik dari rumah ke hospital.

Mohd Kamal berkata, ada ketikanya dia tidak singgah ke rumah pada waktu pagi dan terus ke sekolah berikutan kesuntukan masa dan bebanan kewangan hingga menyebabkannya hilang tumpuan untuk menjaga anaknya yang lain.

“Saya tidak tahu berapa lama anak saya akan berada di HSNZ kerana menurut doktor yang merawat anak saya memberi tahu fokus utama mereka adalah mengubati paru-paru Nur Saffiya yang dijangkiti kuman,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Kamal Md Zin di talian 012-3467792 atau akaun Maybank 164780065374.

Disiarkan pada: May 18, 2015 @ 7:24am
d