mutakhir

Imarah masjid

Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Penganjuran Karnival Mesra Masjid 2015 di Masjid Amru Al-’As, di sini, selama tiga hari bermula Jumaat lalu meriah dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung seawal jam 8 pagi hingga 11 malam.

Karnival kali kelima itu mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Amru Ibni Al ‘As Abdul Razak Hussain berkata, karnival itu bukan saja membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat pada hujung minggu, malah menjadi mekanisme memeriahkan masjid selain waktu solat berjemaah.

“Kami sentiasa mencari jalan meramaikan ahli masjid dan karnival ini secara tidak langsung dapat menarik orang ramai untuk berada dekat dengan masjid.

“Lama-kelamaan pengunjung karnival akan menjadikan masjid sebagai rumah kedua mereka dan berupaya menjalankan ibadah dengan lebih sempurna,” katanya.

Karnival yang turut diselitkan dengan acara senamrobik serta forum agama yang dihadiri penceramah daripada Pencetus Ummah (PU) mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk.

Bagi memeriahkan lagi karnival, pertandingan azan bagi kategori rendah dan menengah serta pertandingan jejak ilmiah (Explorace), memanah, gubahan hantaran dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak mencuri tumpuan pengunjung untuk menyertai acara itu.

Seorang pengunjung Halimah Abu Hassan, 59, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Perak berkata, beliau mengambil kesempatan cuti hujung minggu membawa anaknya berkunjung ke karnival itu kerana tertarik dengan pengisian program berkenaan.

“Saya datang kerana mahu lihat sendiri istimewanya Karnival Mesra masjid kali ini kerana ia kali pertama berlangsung selama tiga hari,” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2015 @ 7:26am
d