mutakhir

3.4 peratus

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Kadar pengangguran dalam kalangan wanita negara ini masih di tahap tinggi iaitu 3.4 peratus berbanding kadar nasional 2.9 peratus.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Hasmawati Mohd Yusoff berkata, pengangguran wanita bukan disebabkan mereka tidak dapat pekerjaan, tetapi mereka lebih memberi tumpuan kepada keluarga terutamanya selepas berkahwin dan mempunyai anak.

“Bagi memastikan wanita menjadi penggerak utama dalam pembangunan negara, kerajaan mewujudkan kemudahan taska dan cuti bersalin bagi membantu wanita terus bekerja tanpa mengharapkan sumber kewangan suami sahaja.

“Berikutan itu, kita melihat penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan meningkat daripada 44.7 peratus pada 1995 kepada 52.4 peratus pada 2013,” katanya ketika berucap di program Hulurkan Harapan, Ibu Nakhoda Hidup di Pasaraya Mydin, Seremban 2, di sini, semalam.

Program dianjurkan Procter & Gamble (P&G) dengan kerjasama Pasaraya Mydin bagi memberi sokongan kepada usahawan wanita.

Hasmawati berkata, peratusan wanita bekerja dalam bidang profesional juga meningkat iaitu daripada 7.5 peratus pada 2005 kepada 14.8 peratus pada 2012.

“Di negara ini, pandangan lama seperti suami menjadi ketua keluarga manakala isteri sebagai suri rumah sepenuh masa masih wujud.

“Namun apabila terdapat ramai wanita yang berjaya dengan memegang jawatan tinggi dan menjadi usahawan dikagumi, secara tidak langsung pandangan lama itu terhakis,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan mengharapkan penyertaan dan peranan wanita dalam membantu merancakkan ekonomi negara menerusi bidang diceburi mereka.

Disiarkan pada: May 18, 2015 @ 8:05am
d