mutakhir

Program anak angkat pili bomba kurangkan 50 peratus kerosakan

Putrajaya: Usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya memperkenalkan program teman pili bomba atau anak angkat sejak 2012 berjaya menurunkan kadar kerugian sehingga 50 peratus kerosakan pili bomba yang disebabkan kegiatan vandalisme.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, terdapat 1,400 pili bomba di Putrajaya dan 700 daripadanya dijadikan teman pili bomba atau anak angkat sama ada oleh individu atau komuniti setempat.

“Pada 2012, jumlah kerugian ditanggung jabatan kami akibat vandalisme adalah RM46,000 dan jumlah itu turun dengan ketara sehingga RM20,315 pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan keberkesanan program ini.

“Sejak program ini diperkenalkan, kita dapat menjimatkan kos penyelenggaraan sehingga RM20,000 setahun dan wang itu boleh digunakan untuk perkara lain,” katanya.

Beliau ditemui media pada Pertandingan Kawad Kecekapan Pasukan Keselamatan Kebakaran Antara Agensi Kerajaan dan Swasta di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya di sini, semalam.

Juara keseluruhan pertandingan itu disandang pasukan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan mereka membawa pulang piala pusingan, sijil penyertaan dan alat pemadam api satu kilogram (kg)

Teman pili bomba adalah individu yang memohon atau dipilih oleh JBPM untuk mengawal selia atau menjaga pili bomba supaya sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi pada bila-bila masa.

Md Hilman berkata, antara kerosakan yang biasa berlaku akibat vandalisme adalah penutup pili dan chamber hilang atau patah, sama ada dilanggar kenderaan atau dicuri.

“Orang ramai yang berminat ingin menjadi teman pili bomba boleh mendapatkan borang melalui laman sesawang kami,” katanya.

Selain itu katanya, jabatan akan melancarkan program satu rumah satu alat pemadam api pada Julai ini sebagai usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan peralatan memadam api di rumah.

Katanya, pada peringkat permulaan 1,000 alat pemadam api diserahkan kepada penghuni rumah yang dipilih.

“Tujuannya adalah memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai tindakan awal apabila berlaku kebakaran.

“Di Putrajaya, 98 peratus kebakaran disebabkan kecuaian termasuk tidak mematikan api dapur selepas memasak atau kanak-kanak bermain dengan mancis, jadi langkah awal selepas berlaku kebakaran amat perlu dan disitulah perlunya alat pemadam api,” katanya.

sementara itu, Pertandingan Kawad Kecekapan Antara Agensi Kerajaan dan Swasta disertai 23 pasukan.

Disiarkan pada: May 18, 2015 @ 8:06am
d