mutakhir

Dilarang solat, sambut raya

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Larangan mendirikan solat di tempat umum termasuk menyambut hari kebesaran dalam Islam menjadi punca utama pelarian Rohingya dari Myanmar cuba mendapatkan perlindungan dengan negara Islam lain terutama Malaysia.

Perkara itu didedahkan Mufti Yangon, Myanmar, Samiullah Nurul Haq yang menjelaskan mereka melarikan diri ke Malaysia jalan terakhir selepas beberapa negara lain seakan-akan bersifat lepas tangan dan tidak mahu memberi perlindungan.

“Kami (masyarakat Rohingya) mampu bertahan dengan desakan ekonomi, cara hidup atau ketiadaan pekerjaan di Myanmar, itu sudah biasa dengan kami, namun penindasan terhadap agama termasuk larangan untuk mendirikan solat secara berjemaah membuatkan kami terhimpit dan melarikan diri ke negara lain

“Apa yang menjadi keutamaan bagi kami adalah kebebasan beragama. Itu saja yang kami perlukan, boleh meraikan hari kebesaran dalam Islam dan melakukan ibadat tanpa sebarang ancaman, ia sudah memadai.

“Bagaimanapun, keadaan sangat berbeza di sana (Myanmar) apabila pihak tertentu melakukan penganiayaan terhadap kami daripada segenap aspek termasuk membakar rumah penduduk jika ada sebahagian kami yang tetap ingkar dengan larangan mereka,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: May 18, 2015 @ 8:12am
d