mutakhir

ASEAN perlu beri tekanan

Putrajaya: Satu persidangan tergempar peringkat ASEAN perlu dipanggil segera bagi menekan Myammar untuk menyelesaikan isu pelarian etnik Rohingya memandangkan apa yang dilakukan negara berkenaan kini dilihat tidak berperikemanusiaan.

Itu pandangan dilontarkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas melancarkan buku ‘Dr Mahathir’s Selected Letters To World Leaders’ (Edisi 2) di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, etnik Rohingya sudah berada di Myanmar sejak 800 tahun lalu, malah mereka sudah menjadi sebahagian daripada penduduk negara berkenaan.

Katanya, beliau berpendapat orang beragama Buddha adalah sangat bertimbang rasa dan tidak suka membunuh, namun tindakan yang dilakukan Myanmar kini dilihat cukup zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Mereka (Rohingya) tidak patut dibunuh. Justeru, kita (ASEAN) ada hak untuk memanggil mesyuarat tergempar kerana ia menimbulkan masalah sehingga dibebani oleh negara lain.

“Saya kenal beberapa pemimpin Myanmar... benda baik kita puji, benda tak baik kita kritik. Dulu kita (Malaysia) tolong ikon prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, namun kini mereka langsung tidak ambil berat mengenai nasib Rohingya,” katanya.

Katanya, kerajaan Myanmar perlu menyelesaikan masalah isu pelarian ini di negara mereka sendiri.

Dr Mahathir berkata, kerajaan Myanmar sepatutnya menyelesaikan masalah ini di negara mereka sendiri, bukannya meletakkan beban kepada negara ASEAN lain.

Disiarkan pada: May 19, 2015 @ 7:42am
d