mutakhir

'Ayah sempat beli kasut sekolah baru'

Kluang: “Ayah sempat bawa saya ke bandar beli kasut sekolah baru,” kata Mohd Nor Hakim, 16, anak sulung kepada Mohamad Nizam Abd Talib, 43, yang terkorban dalam nahas motosikal berkuasa tinggi dan bas ekspres di Kilometer 41, Jalan Ayer Hitam-Mersing, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.15 malam, mangsa yang juga seorang penyelia kilang meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal Kawasaki ER6 ditunggang terbabas merempuh besi pembahagi jalan dan dilanggar bas ekspres dari belakang sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Menurut Mohd Nor Hakim, kira-kira jam 5 petang hari sama bapanya membawa dia ke bandar Kluang untuk membeli kasut sekolah baru.

“Sebagai anak sulung, saya memang rapat dengan ayah. Dalam perjalanan balik, ayah sempat beritahu dia ada perjumpaan dengan kelab motosikalnya di Stadium Kluang pada sebelah malamnya dan perlu keluar awal.

“Tidak lama ayah keluar rumah, saya dapat berita sedih daripada seorang rakan beritahu ayah kemalangan jalan raya. Tidak sangka ayah belikan kasut ini sebagai kenangan terakhirnya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kluang, malam kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa dari Taman Suria, Kluang, bersama lebih 20 motosikal berkuasa tinggi dari arah Plaza Tol Ayer Hitam ke Kluang dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan lalu terjatuh sebelum digilis bas ekspres.

Katanya, mangsa terseret beberapa meter sebelum motosikal yang terperosok di hadapan bas meletup dan terbakar, bagaimanapun pemandu dan penumpang bas ekspres terselamat.

“Pemandu bas ekspres berusia 42 tahun dan penumpang bas bagaimanapun tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mangsa aktif menyertai sebuah kelab motosikal berkuasa tinggi di daerah ini sejak empat tahun lalu dan meninggalkan seorang balu, Maria Zakaria, 40, dan tiga anak iaitu Mohd Nor Hakim, Mohd Nor Haziq, 12 dan Mira Noralisa, 8 tahun.

Disiarkan pada: May 19, 2015 @ 8:08am
d