mutakhir

Lebih padu!

Kuala Lumpur: Sektor pengangkutan dan logistik akan terus kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan memanfaatkan pelaburan baru dalam jalan raya serta perkhidmatan kereta api dan udara untuk merancakkan pembangunan wilayah dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Peluasan rangkaian itu akan mewujudkan koridor baru bagi aktiviti ekonomi.

Integrasi pelbagai mod pengangkutan yang lebih baik akan mewujudkan ketersambungan yang lancar bagi barangan dan penumpang.

Dalam tempoh RMK-11, kerajaan juga akan memperkemas peraturan dan pelesenan, memperkukuh rangka kerja institusi untuk menambah baik perancangan bersepadu dan kawal selia industri.

“Infrasruktur utama perlu dibangunkan untuk menyokong pelaksanaan pelbagai projek baru yang signifikan seperti sistem transit aliran berkapasiti tinggi, jalur lebar berkelajuan tinggi, peluasan rangkaian pembentungan dan kapasiti penapisan minyak yang baru,” menurut dokumen RMK-11.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan dokumen rancangan lima tahun (2016-2020) itu di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam RMK-11, inisiatif akan dilaksana untuk menyediakan sistem pengangkutan yang lancar dan meningkatkan mobiliti penduduk dengan sasaran perkongsian mod pengangkutan awam 40 peratus di kawasan Greater KL/Lembah Klang dan 20 peratus di ibu negeri lain.

“Oleh itu pelaburan dalam mod pengangkutan akan dipertingkatkan bagi menambah baik perkhidmatan dan ketersambungan di luar bandar dan bandar, antara luar bandar dengan bandar serta antara bandar,” katanya.

Pembangunan lebuh raya akan ditumpu di kawasan luar Lembah Klang dan bandar lain untuk mencapai pembangunan ekonomi yang seimbang.

“Oleh itu, dalam tempoh RMK-11, tumpuan akan diberikan kepada ketersambungan luar bandar dan antara luar bandar dengan bandar,” katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2015 @ 9:28am
d