mutakhir

Tak selamat jual rokok seludup

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail dan Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Sejak 2010 hingga tahun lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 11.9 juta rokok seludup pelbagai jenama di 39,442 premis di seluruh negara menerusi Op Pacak.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan) Datuk Hassan Ibrahim berkata, 6,095 individu ditahan manakala 2,110 didakwa dan 5,774 masih dalam proses tindakan pendakwaan.

Beliau berkata, tumpuan Op Pacak kali ni dilakukan di daerah Manjung yang menunjukkan kadar penyeludupan yang tinggi.

“Operasi kali ini akan menumpukan pada barangan kritikal yang sering diseludup dengan beberapa strategi baru antaranya operasi bersepadu dengan agensi kerajaan lain selain hasil risikan,” katanya pada Majlis Pelancaran Op Pacak Rokok dan Arak Seludup 2015 di Seri Manjung, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Kastam Perak Awai Mamat.

Hassan berkata, pihaknya menyeru peniaga menghentikan penjualan rokok dan arak seludup bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

Sementara itu, di Kuching, Sarawak, lokasi popular yang sering dikunjungi orang ramai membeli rokok seludup diserbu penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam Op Blitz, kelmarin.

Dalam pemeriksaan di dua premis berasingan di Kuching City Mall dan King Centre, kastam berjaya merampas 20 karton rokok pelbagai jenama seperti Rave, Parkway dan Canyon.

Jurucakap JKDM berkata, dalam pemeriksaan di Kuching City Mall, anggota penguat kuasa berjaya merampas 15 karton rokok seludup pelbagai jenama manakala di lokasi kedua di sebuah medan selera di King Centre sebanyak lima karton rokok ditemui.

Dalam serbuan yang bermula jam 2 hingga 4 petang itu, pihaknya turut menahan dua peniaga lelaki berusia lingkungan 30-an untuk tindakan selanjutnya.

“Mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuching kerana menjual rokok seludup esok (hari ini).

“Kami komited membanteras kegiatan penjualan rokok seludup dengan mengadakan pemeriksaan mengejut di beberapa lokasi sasaran,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Op Blitz Kuching antara inisiatif Op Outlet yang dilaksanakan jabatan itu bagi membanteras perdagangan rokok seludup.

Dalam perkembangan berasingan, bermula Januari hingga 31 Mac lalu, 5.5 juta rokok seludup dirampas membabitkan nilai RM4.78 juta dalam 1,056 pemeriksaan di seluruh negara.

Antara jenama rokok yang dirampas ialah John, U2 dan Canyon.

Anggaran duti dan cukai kastam yang dielak dalam penjualan rokok seludup sebanyak RM32.59 juta. Selain itu, 196 peruncit ditahan sepanjang tiga bulan ini.

Disiarkan pada: May 22, 2015 @ 9:37am
d