mutakhir

Ubah tanggapan

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Program Pusat Komuniti Permata Perkasa Remaja diteruskan untuk siri ke-3 di Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, di sini, bagi membantu remaja terpinggir bersedia menghadapi cabaran dalam masyarakat, selain mengambil bahagian dalam aktiviti komuniti.

Program berkenaan dibangunkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Bahagian PERMATA Jabatan Perdana Menteri. Ia diperkenalkan sejak Januari 2010 di PPR Sri Pantai dan Pantai Ria, Pantai Dalam.

Penaung Program Permata Datin Seri Rosmah Mansor berkata, dalam usaha menjadi negara maju, remaja tidak boleh ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Justeru, pendekatan yang dijalankan PERMATA dan UKM bertepatan dengan hasrat kerajaan supaya mereka mampu berdikari seterusnya meninggalkan aktiviti tidak berfaedah.

“Program ini secara tidak langsung berupaya mengubah tanggapan salah terhadap remaja bermasalah kepada pembentukan remaja sebagai modal sosial berpotensi,” katanya pada majlis perasmian Pusat Komuniti Permata Perkasa Remaja Siri ke 3 di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Pengarah Pusat Pemerkasaan Remaja UKM Prof Dr Samsudin A Rahim.

Menurutnya, merealisasikan impian remaja kurang bernasib baik adalah tugas berterusan yang perlu dipikul, namun memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

“Saya dimaklumkan penyertaan remaja mencecah 3,241 orang sejak lima tahun lalu dan ada yang berjaya menjana pendapatan sehingga lebih RM1,000 sebulan daripada perniagaan kecil-kecilan mereka.

“Ini berita baik dan kita mengadakan pertandingan bagi setiap aktiviti dalam program ini supaya dapat membuka minat ramai lagi remaja untuk terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2015 @ 5:14am
d