mutakhir

Rezeki 'lepas empangan'

Kuala Pilah: Ratusan penduduk mengambil kesempatan berpesta menangkap ikan selepas air empangan Kubang Rusa, di sini, dilepaskan pagi semalam.

Tinjauan mendapati, penduduk dari beberapa daerah memeriahkan aktiviti sepanjang satu kilometer di Sungai Muar berdekatan kampung Pelangai bagi menangkap pelbagai spesies ikan dilepaskan bersama air empangan itu.

Antara ikan berjaya ditangkap adalah lampam jawa, sembilang sungai, sebarau, haruan, baung, udang galah dan keli.

Kebanyakan penduduk menggunakan peralatan ringkas seperti jala kecil, raga rotan atau raga plastik untuk menjalankan aktiviti menyeronokkan ini.

Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Pilah, Faiz Hassan berkata, empangan Kubang Rusa digunakan untuk kemudahan pengairan sawah padi dalam daerah ini.

“Sementara menunggu kerja penanaman semula padi, pintu empangan ini dibuka bagi mengganti air selain membersihkan tebing sungai. Ketika pintu empangan dibuka jam 8 pagi tadi (semalam), kedalaman air sekitar tiga meter.

“Ketika ini penduduk mengambil kesempatan mencari rezeki kerana air cetek dan ikan seolah-olah ‘pening’ sekali gus memudahkan untuk ditangkap.

“Bagaimanapun, aktiviti ini bukanlah kelolaan JPS tetapi sekadar memberi peluang kepada mereka menangkap ikan secara percuma,” katanya.

Penduduk, Nazri Mustafar, 25, dari Kampung Sri Jemapoh, dekat sini berkata, ini aktiviti tahunan sering diikuti bersama ahli keluarga.

“Penduduk setempat menamakan aktiviti ini sebagai ‘lepas empangan’. Boleh dikatakan setiap kali dilakukan, saya dan keluarga tidak melepaskan peluang ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2015 @ 5:20am
d