mutakhir

Usah risau kebanjiran etnik gugat keamanan

Kuala Lumpur: Rakyat disaran menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada kerajaan untuk menguruskan pelarian Islam Rohingya di negara ini dan bukannya menimbulkan isu kononnya kebanjiran etnik itu bakal menggugat keselamatan dan keamanan negara.

Bekas Dekan Institut Pemikir dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, sebagai sebuah negara Islam, rakyat Malaysia harus mengutamakan tanggungjawab kemanusiaan tanpa mengira bangsa dan warna kulit.

“Janganlah kita jadi segelintir orang berfikiran sempit kononnya Malaysia akan dibanjiri kaum Rohingya atau Bangladesh yang mungkin mengambil kesempatan atas sikap keterbukaan pemimpin kita membantu pelarian berkenaan.

“Selama ini pun, sudah berapa ramai pendatang asing mengambil kepentingan untuk hidup aman di Malaysia, jadi janganlah kita terlalu bimbang kebanjiran etnik Rohingya kerana kerajaan mengikut dasar yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad di sini, semalam.

Dr Mahmood Zuhdi mengulas kebimbangan segelintir rakyat negara ini mengenai keputusan Malaysia dan Indonesia baru-baru ini yang bersetuju memberi perlindungan kepada ribuan pelarian Rohingya, di sini.

Rabu lalu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju menawarkan tempat perlindungan sementara kepada 7,000 pendatang yang terkandas di laut dengan syarat proses penempatan semula dan penghantaran pulang dijalankan dalam tempoh setahun oleh masyarakat antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut mengarahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meneruskan operasi mencari dan menyelamat di laut.

Mengulas lanjut, Dr Mahmood Zuhdi berkata, lebih baik rakyat percaya pada agama masing-masing yang mahu penganutnya membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Dari sudut Islam, adalah wajib kita memberi perlindungan kepada mereka yang terpaksa lari untuk menyelamatkan nyawa dan bukannya menjadi pelarian kerana mahukan pekerjaan atau sebagainya.

“Harus diingat, jika berlaku kematian terhadap pelarian Rohingya kita akan menanggung dosa, malah mungkin boleh didakwa sebagai penjenayah oleh badan Islam tertinggi mengikut undang-undang jenayah Islam,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2015 @ 5:20am
d