mutakhir

Dikir barat UPM jadi tarikan

Kuala Lumpur: Kerancakan Kumpulan Kijang Emas membuat persembahan dikir barat di tengah Dataran Merdeka, menjadi antara tarikan kepada orang ramai sempena sambutan Hari UNESCO Malaysia 2015 yang bermula semalam.

Kumpulan dianggotai 14 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu bukan saja menghiburkan pengunjung tempatan malah juga pelancong asing yang tidak mahu ketinggalan melihat pelbagai aktiviti menarik yang disediakan.

Wakil kumpulan terbabit, Mawardi Mahusin, 22, berkata, dia bangga apabila kali pertama kumpulan mereka terpilih membuat persembahan sempena Hari UNESCO.

Katanya, lebih membanggakan apabila seni dikir barat yang berasal dari Kelantan dapat diperkenalkan kepada pelancong asing.

“Ini kali pertama kami dijemput membuat persembahan dalam sambutan Hari UNESCO dan ia pengalaman menyeronokkan.

“Ia menjadi satu landasan untuk kami memperkenalkan seni budaya di Malaysia,” katanya.

Selain dikir barat, pengunjung turut melihat persembahan USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) Street Dakwah terdiri daripada deklamasi puisi serta band akustik.

Hari UNESCO Malaysia 2015 yang diadakan selama dua hari berakhir hari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik berunsurkan kesenian, kebudayaan dan warisan kepada orang ramai.

Antaranya Pertandingan Amazing Heritage Race-Warisan, persembahan wayang kulit tradisional dan sci-fi serta persembahan tarian dan muzik tradisional oleh universiti awam (UA) dari seluruh negara.

Sementara itu, seorang pelancong dari Kanada, Rob Yellen, 21, berkata, dia yang kali pertama datang ke Malaysia seronok melihat suasana meriah di sekitar Dataran Merdeka dengan pelbagai aktiviti yang boleh dinikmati pengunjung.

“Saya baru sehari di Kuala Lumpur, namun tidak sangka suasana meriah dan banyak aktiviti boleh dilakukan di Dataran Merdeka sempena Hari UNESCO,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2015 @ 5:20am
d