mutakhir

ESSCOM, pihak berkuasa Filipina perlu kerjasama

Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mencadangkan sudah tiba masanya pihak berkuasa Selatan Filipina duduk semeja bagi membincangkan pendekatan terbaik untuk menangani isu jenayah rentas sempadan, khususnya kes penculikan yang tidak berkesudahan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Ruji Ubi berkata, inisiatif baru itu perlu memandangkan penjenayah yang menyusup masuk ke Sabah melalui perairan ESSZONE adalah mereka yang berasal dari wilayah Selatan Filipina.

“Pada ketika ini, kerjasama kedua-dua pihak antara pihak berkuasa Malaysia dan Filipina hanya tertumpu kepada pertukaran maklumat risikan saja.

“Maka, susulan kejadian penculikan di Restoran Ocean King di Sandakan baru-baru ini, terdapat keperluan untuk memperluaskan kerjasama ini secara holistik, termasuk mengadakan perbincangan meja bulat dan kawalan perairan koordinasi bersama di wilayah sempadan perairan ESSZONE dan laut Sulu (selatan Filipina),” katanya, di sini, semalam.

Ruji yakin dengan adanya kerjasama yang menyeluruh akan dapat menghasilkan satu resolusi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Saya melihat ini mekanisme baru yang perlu diteroka atau direalisasikan dalam usaha memikirkan sesuatu inisiatif di luar kelaziman.

“Kedua-dua pihak perlu ada keseriusan dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Ruji berharap, pihak berkuasa Filipina dapat menimbang cadangan itu demi kebaikan bersama, sekali gus memastikan kawasan ESSZONE bebas daripada jenayah penculikan.

Dalam kejadian pada 14 Mei lalu, sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan dan menculik seorang lelaki dan seorang wanita dengan disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak.

Disiarkan pada: May 24, 2015 @ 5:27am
d