mutakhir

Tiga panggilan minta wang

Kota Kinabalu: Polis mengesahkan menerima tiga panggilan daripada kumpulan penculik yang melarikan dua rakyat tempatan dalam kejadian di Restoran Ocean Kings, Sandakan, pada 14 Mei lalu, yang meminta keluarga mangsa menyediakan kos perubatan dan makanan selain wang tebusan bagi tujuan pembebasan mereka.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, berdasarkan pertemuan dengan ahli keluarga kedua-dua mangsa baru-baru ini, kumpulan penculik terbabit menghubungi mereka menerusi telefon meminta sejumlah wang termasuk kos perubatan seorang mangsa yang didakwa menderita penyakit kencing manis.

Menurutnya, berdasarkan dakwaan kumpulan penculik itu, mangsa yang juga pemilik restoran Ocean King, Thien Nyuk Fun, 50, dikatakan diserang penyakit berkenaan dan memerlukan ubat dengan segera.

“Setakat ini, keluarga mangsa sudah menerima tiga panggilan meminta sejumlah wang untuk tebusan, kos perubatan seorang mangsa yang dikatakan menghidap kencing manis serta perbelanjaan bagi menampung kos makanan mereka,” katanya dalam sidang media sempena penutupan Program Latihan Asas Polis Bantuan Siri 1/2015 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Kepayan, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Jalaluddin bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah wang yang diminta oleh kumpulan penculik berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

Disiarkan pada: May 24, 2015 @ 5:27am
d