mutakhir

Resipi muafakat berkesan

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Malaysia menjadi negara pertama dipilih melancarkan Rangkaian Pendidikan Untuk Belia, Kelestarian dan Keamanan (YESPeace) di bawah inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), semalam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rangkaian itu adalah satu inisiatif belia di peringkat global yang dipelopori Institut Pendidikan untuk Keamanan dan Pembangunan Mampan Mahatma Gandhi, satu daripada institusi di bawah UNESCO.

“Rangkaian ini adalah platform terbaik golongan belia menyuarakan pandangan dan pendapat mereka mengenai isu keamanan dan pembangunan mampan.

“Dengan meletakkan belia sebagai fokus utama selari dengan tema Kebersamaan pada sambutan kali ini, ia menunjukkan komitmen negara untuk bersama-sama UNESCO dalam membantu melonjakkan peranan belia.

“Ini bagi memastikan belia dapat memacu perubahan dan inovasi sosial, membangunkan masyarakat setempat, menghapuskan kemiskinan dan ketidaksamaan serta memupuk budaya keamanan,” katanya ketika melancarkan Majlis Sambutan Hari UNESCO Malaysia 2015 di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova serta Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.

Terdahulu Muhyiddin, turut dibawa melawat ke gerai pameran sempena sambutan berkenaan dengan diiringi beberapa orang yang memakai kostum watak filem Star Wars sebagai gimik.

Sementara itu, Irina berkata, Malaysia mampu menterjemahkan tema sambutan kali ini iaitu Kebersamaan dengan baik sesuai dengan persekitaran Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum.

“Pada hari ini, banyak suara extremis dan tanggapan negatif yang mengatakan kepelbagaian budaya ini satu kelemahan.

“Tetapi Malaysia menjadikan pandangan buruk itu sebagai satu kekuatan kerana dapat mewujudkan permuafakatan dengan baik walaupun hidup berbilang kaum,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2015 @ 9:38am
d