mutakhir

Gaduh sampai ke hotel

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: “Petang tadi (kelmarin), kami bergaduh, jadi dia menghantar SMS mengatakan mahu berjumpa sebelum saya dibawa ke hotel,” kata seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas disyaki berkhalwat dalam Operasi Cegah Maksiat di sekitar daerah Melaka Tengah, semalam.

Pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Masjid Tanah itu antara 12 individu yang ditahan JAIM dalam operasi di tujuh lokasi membabitkan pesisir Pantai Dataran 1Malaysia, Klebang, premis judi dan lima hotel bajet sekitar Bachang serta Jalan Tun Ali bermula 12 tengah malam hingga 3 pagi, semalam.

Remaja itu mendakwa dia sedang berhibur bersama keluarga angkatnya di sebuah pusat karaoke dihubungi teman lelaki berusia 22 tahun yang dikenali sejak April lalu jam 10.30 malam.

“Dia (teman lelaki) menghantar SMS merayu untuk berjumpa kerana mahu meminta maaf selepas bergaduh dan dia jemput saya di pusat karaoke sebelum dibawa ke hotel.

“Ketika dalam bilik hotel, teman lelaki cuba memujuk saya yang sedang marah, namun kami langsung tidak melakukan perkara yang dilarang agama,” katanya.

Tindakan pasangan itu mengambil masa lama membuka pintu menimbulkan curiga pegawai dan anggota penguat kuasa JAIM.

Pengarah JAIM Ismail Hamad berkata, pihaknya akan menghubungi keluarga remaja itu sebelum mengambil tindakan yang perlu berikutan dia masih di bawah umur.

“Hasil maklumat diperoleh remaja bermalam di rumah keluarga angkatnya pada setiap hujung minggu.

“Kami akan memanggil keluarga remaja berkenaan ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2015 @ 9:51am
d