mutakhir

Penduduk rayu sedia rakit lebih selamat

Jerantut: Penduduk di Kampung Gusai di sini, mengharapkan simpati kerajaan menyediakan sebuah rakit yang lebih selesa dan selamat supaya mereka dapat menggunakannya untuk menyeberang Sungai Tembeling untuk ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini.

Penduduk, Mohd Narun Dollah, 63, berkata, mereka kini terpaksa menggunakan rakit dibuat daripada buluh yang ditolak menggunakan tenaga manusia untuk membawa penumpang atau motosikal ke seberang.

“Hanya rakit sahaja yang sesuai digunakan untuk mengangkut motosikal ke Kampung Bantal kerana ia lebih pantas berbanding melalui jalan balak sejauh dua kilometer.

“Dasar sungai di sini cetek dan bot tidak boleh masuk ke kampung. Oleh itu rakit menjadi pengangkutan paling sesuai untuk kegunaan kami,” katanya.

Katanya, sebanyak pihak berwajib sebelum ini pernah berjanji untuk menyelesaikan masalah jalan perhubungan yang menjadi masalah utama penduduk di sini.

“Penduduk kampung terpaksa membuat rakit sendiri dengan menebang buluh tanpa memikirkan faktor keselamatan dan kekukuhannya,” katanya.

Mohd Narun berkata, kira-kira 500 penduduk di Kampung Gusai terkilan dengan tindakan pihak berwajib yang menangguhkan projek pembinaan jalan menghubungkan kampung berkenaan dengan Kampung Bantal.

“Saya berharap pihak berwajib dapat memberikan perhatian kepada masalah kami di sini, supaya kami turut sama merasai kemudahan yang selesa,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2015 @ 10:39am
d