mutakhir

Pantau laut

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Pelayaran kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Laut Andaman bagi misi kemanusiaan menghantar bekalan makanan dan pakaian ke kawasan bot pelarian Rohingya yang terkandas sejak 12 Mei lalu setakat ini sudah berjaya menyelamatkan seorang lelaki Rohingya.

Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata, lelaki Rohingya itu dijumpai terdampar di Pulau Perak pada 15 Mei lalu oleh anggota Tentera Darat dan kemudian dihantar ke jeti TLDM Langkawi dengan kapal KD Langkawi.

Beliau berkata, lelaki itu seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selain itu seramai 1,128 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di serata Langkawi pada 10 Mei lalu sudah dihantar dari jeti TLDM ke jeti Kuala Kedah untuk dibawa ke depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik, Kedah pada 12, 13 dan 14 Mei lalu menggunakan aset TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin.

“Pada awal pagi 10 Mei, tiga bot sarat lebih 1,000 orang PATI warga Rohingya dan Bangladesh mendarat di Kuala Triang, Kuala Chenang dan Kuala Temoyong, Langkawi. Ekoran insiden itu, TLDM mengaktifkan operasi pada 12 Mei membabitkan 10 buah kapal.

“Empat kapal TLDM dengan jumlah kekuatan kru seramai 300 hingga 350 ditugaskan untuk memantau perairan Selat Melaka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, malam tadi.

Beliau berkata, tiga kapal menumpukan rondaan di perairan Langkawi dan persempadanan Malaysia-Thailand iaitu KD Kasturi, KD Lekir dan KD Ledang selain satu bot CB 90.

Mengulas lanjut, katanya, selain aset laut TLDM juga menempatkan sebuah pesawat Fennec di Langkawi bagi pemantauan udara selain meluaskan jarak pengesanan.

“Sehingga kini TLDM sudah menerima sumbangan kemanusiaan berupa makanan dalam tin, minuman dan selimut sebanyak lapan tan daripada MERCY Malaysia.

Disiarkan pada: May 26, 2015 @ 5:13am
d