mutakhir

'Sekadar makluman untuk ahli'

Kuala Lumpur: Ucapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam rakaman yang disebarkan di laman sosial adalah untuk memberi penerangan kepada ahli UMNO saja, demikian kata Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut Shafie, penerangan itu diutarakan kerana sebagai pemimpin kanan, adalah menjadi tanggungjawab Muhyiddin untuk menjelaskan perkara sebenar kepada ahli.

“Saya dapati tiada kandungan dalam ucapan itu yang mengandungi kata-kata yang boleh merosakkan perkara sebenar kerana ia adalah sekadar makluman untuk ahli saja.

“Jika kita sekat semua penyampaian maklumat berkenaan, dikhuatiri boleh memudaratkan parti kerana ahli akan mendapatkan maklumat berkaitan daripada sumber luar yang belum pasti kesahihannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum ASEAN Mengenai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di ibu negara, semalam.

Jelas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu lagi, sedangkan lidah lagikan tergigit dan perselisihan pendapat boleh berlaku kepada sesiapa saja, bukan kepada Presiden atau Timbalan Presiden UMNO saja.

Justeru, kata beliau, semua pihak perlu realistik kerana tidak semua orang mempunyai pendapat yang sama mengenai sesuatu.

“Namun, jangan jadikan perbezaan itu sebagai tafsiran untuk melaga-lagakan pemimpin dengan pemimpin yang lain, sebaliknya kita perlu perbetulkan keadaan dan menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat.

“Ia bukan persoalan sama ada untuk menyokong Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mohd Najib atau Muhyiddin kerana apa yang penting, menjawab segala persoalan rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2015 @ 5:15am
d