mutakhir

Kecoh jumpa kaki tercicir

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Penemuan objek yang pada mulanya disangkakan kaki lembu sebenarnya adalah kaki manusia yang ditemui di Taman Pandan Indah, Lorong Pandan, di sini, semalam.

Anggota berkenaan ditemui seorang buruh binaan berhampiran tempat kejadian jam 9 pagi sebelum memaklumkannya kepada penyelianya yang kemudian terus menghubungi polis.

Penyelia tapak binaan Azuan Fitri Anuar, 27, berkata, dia dimaklumkan penemuan itu oleh seorang pekerjanya sebelum melihat lebih dekat bagi memastikan identiti objek berkenaan.

“Selepas diamati, ia jelas kaki manusia dari betis hingga tapak kaki yang dibalut kain dipercayai ‘bandage’ yang sudah dicemari kotoran tanah.

“Pada mulanya, kami menyangkakan kayu atau kaki lembu, namun bau busuk yang hanyir menyebabkan saya terpaksa menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, kaki manusia itu ditemui masih lengkap dengan jari ketika anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) datang melakukan pemeriksaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi jam 9.30, polis bersama pasukan perubatan Hospital Melaka melakukan siasatan dengan cuba menjejaki anggota badan lain kerana dibimbangi ada kaitan dengan kes jenayah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 9 pagi semalam.

“Kita kemudian menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi bersama Bahagian Forensik PDRM, Unit Anjing Pengesan K9 serta doktor dari Hospital Melaka untuk menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi penemuan kaki itu, doktor mengesahkan yang objek itu adalah kaki manusia yang dipotong pihak hospital berdasarkan cara potongan yang dapat dilihat pada tulang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan pihak hospital juga mengesahkan yang kaki itu terdapat kesan penyakit kencing manis selain jangkitan virus pada tulangnya.

“Berpandukan maklumat itu, IPD Melaka Tengah melakukan semakan dengan hospital swasta di negeri ini dan hasilnya berjaya mengesan pemilik kaki berkenaan iaitu seorang lelaki warga Indonesia berusia 70-an,” katanya.

“Lelaki itu menjalani pembedahan memotong kaki pada 20 Mei lalu dan dipercayai pihak pengurusan yang bertanggungjawab mengebumikan kaki mangsa didapati cuai sama ada tercicir atau tidak menanamnya pada kedalaman yang sepatutnya hingga dilarikan haiwan,” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2015 @ 5:35am
d