mutakhir

Si gempal disergah polis

Melaka: “Jangan lari! kamu mahu pergi mana, datang dan duduk di sini atau saya gari!”.

Itu antara drama ketika hari ketujuh Ops Warta yang dijalankan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berdekatan Eye On Malaysia di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, kelmarin.

Berdasarkan tinjauan Harian Metro mendapati lelaki berbadan gempal berusia 24 tahun itu mempunyai tiga waran tangkap dan tiga saman yang belum dijelaskan.

Ketika diperiksa polis, lelaki yang mendakwa bekerja di Singapura itu turut menunjukkan kepingan slip saman trafik sambil mendakwa mahu menjelaskannya segera.

Operasi dua jam bermula jam 6 petang itu berjaya menyelesaikan 24 waran tangkap menerusi penahanan 11 individu yang mempunyai waran tangkap.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, seorang peniaga pasar malam dikesan memiliki enam waran tangkap.

“Kami turut menyita sebuah kereta kerana didapati melakukan kesalahan mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran selain membuat satu tangkapan jenayah iaitu seorang lelaki berusia 20-an,” katanya.

Beliau berkata, semua pesalah yang mempunyai waran tangkap itu didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam.

Disiarkan pada: May 26, 2015 @ 9:01am
d