mutakhir

Bakti cikgu hingga hujung nyawa

Kuala Terengganu: Seorang guru lelaki meninggal dunia selepas rebah ketika membuat salinan bahan pembelajaran di bilik guru Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran, di sini, semalam.

Mangsa, Muda Sulong, 59, yang juga Guru Penolong Kanan (Pentadbiran) di sekolah berkenaan dikatakan tiba-tiba rebah pada jam 10.20 pagi dan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata, sebelum kejadian itu, mangsa ada menghadiri kursus latihan dalam pendidikan dan kemudian berehat sebelum masuk ke bilik guru berkenaan untuk membuat salinan bahan pembelajaran kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, ketika membuat salinan itu, mangsa tiba-tiba rebah dan rakan sekerja yang berada di tempat kejadian cuba membantu, tetapi mangsa gagal diselamatkan.

“Ahli keluarga mangsa memaklumkan arwah mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan turut mengambil ubat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Muda adalah seorang guru contoh kerana kerajinannya, mudah mesra, disenangi rakan sekerja dan murid.

Katanya, mangsa yang mengajar di SK Padang Hiliran sejak 2005 meninggalkan seorang isteri dan lima anak.

Disiarkan pada: May 26, 2015 @ 10:49am
d