mutakhir

Pengurus maut tercampak rempuh tol

Subang Jaya: Seorang pengurusan pengangkutan sebuah syarikat maut selepas kereta dipandu merempuh tembok penghadang pondok tol Sunway di Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP) di sini, hingga berkecai.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi semalam, mangsa berusia 41 tahun tercampak keluar dari kenderaan dan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, badan serta kaki.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahya Ramli berkata, mangsa yang memandu dari arah Bandar Sunway menghala ke Puchong terbabas sebelum melanggar tembok penghadang diperbuat dari konkrit.

Katanya, mangsa yang memandu kereta model Toyota Camry gagal menekan brek kenderaan dan terus melanggar tembok itu.

“Kesan hentaman kuat itu menyebabkan kereta mangsa hancur berkecai.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta itu dipercayai memandu pada kelajuan tinggi berdasarkan kerosakan kereta dialami.

“Ujian darah juga akan dilakukan bagi memastikan sama ada mangsa berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu dalam kemalangan berasingan, seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) maut selepas diseret selain digilis lori berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasek Selatan di sini.

Dalam kejadian jam 9.55 malam kelmarin, mangsa, Ahmad Zaki Zanuddin, 26, berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pegawai Turus Siasatan Dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S.Markandan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari UPM, Serdang ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Katanya, mangsa dihimpit sebuah lori yang menyebabkan mangsa terjatuh ke bawah badan lori.

Disiarkan pada: May 26, 2015 @ 10:52am
d