mutakhir

Pelatih bolos dicekup di stesen bas

Sungai Siput: Kurang 48 jam selepas meloloskan diri dari Pusat Serenti Perlop, di sini, dengan memanjat pagar pusat pemulihan berkenaan, seorang daripada tiga pelatih yang melarikan diri itu berjaya diberkas semula di sebuah stesen bas.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata, pelatih terbabit berjaya ditahan jam 2 pagi di Stesen Bas Bandar Baru Teluk Intan, dekat sini hasil maklumat keluarga pelatih terbabit.

Katanya, tangkapan semula itu dilakukan sendiri oleh pihak pusat serenti berkenaan sejurus selepas menerima maklumat daripada keluarga pelatih berkenaan yang memaklumkan di mana dia berada.

“Beberapa jam sebelum pelatih berkenaan dikesan iaitu jam 9 malam, pihak keselamatan Pusat Serenti Perlop menerima panggilan daripada keluarga seorang pelatih yang melarikan diri itu yang memberitahu pelatih terbabit berada di sebuah stesen bas.

“Atas maklumat itu, pihak pusat pemulihan bergegas ke lokasi pelatih terbabit berada sebelum membuat tangkapan semula,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, pelatih yang ditahan semula itu adalah Mohd Firhan Norizan, 23, manakala dua lagi pelatih yang turut melarikan diri masih lagi bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan.

Katanya, laporan polis berhubung penahanan semula pelatih berkenaan juga sudah dibuat dan pelatih itu dibawa semula ke pusat pemulihan itu untuk tindakan lanjut.

Harian Metro semalam, melaporkan tiga pelatih dikenali sebagai Mohd Sobri Abd Manaf, 32, Shahizuan Ahmad Saad, 28, dan Mohd Firhan Norizan, 23, disedari melarikan diri oleh polis bantuan di pusat pemulihan itu, jam 7 pagi selepas menemui kayu serta kain selimut yang tersangkut di pagar belakang di pejabat pentadbiran.

Ketiga-tiga pelatih itu dipercayai melarikan diri antara jam 5 hingga 6 pagi ketika semua pelatih keluar menunaikan solat Subuh.

Disiarkan pada: May 27, 2015 @ 8:49am
d