mutakhir

'Murah hati' batal saman

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Pihak polis trafik ‘bermurah hati’ apabila sanggup pergi ke mahkamah untuk membatalkan saman dikenakan sekali gus mengelakkan pesalah trafik dibicarakan dan dihukum penjara.

Bagaimanapun tindakan itu hanya diambil terhadap pesalah trafik tegar yang memberi kerjasama dan tampil menyerah diri ke balai polis trafik berhampiran.

Difahamkan semakin ramai pesalah trafik tampil menyerah diri pada hari ke lapan operasi Ops Warta diadakan semalam membabitkan 8,946 individu.

Jumlah itu empat kali ganda lebih ramai berbanding 1,790 individu ditahan pihak polis melalui pemeriksaan di pejabat atau sekatan jalan raya.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, bilangan pesalah trafik yang menyerah diri semakin ramai dan itu dianggap petanda positif kepada polis dalam melaksanakan penguatkuasaan undang - undang.

“Saya berharap individu yang masih mempunyai waran tangkap supaya menyerah diri dan tidak menunggu sehingga pihak polis menahan mereka sama ada melalui sekatan jalan raya atau penahanan di pejabat.

“Kami masih memberi peluang kepada pesalah trafik untuk menjelaskan waran tangkap dalam masa terdekat bagi mengelak mereka dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan yang membawa hukuman denda atau penjara,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, polis akan ke mahkamah bagi membatalkan saman berkenaan jika pesalah trafik menyerah diri.

Mengulas lanjut mengenai tindakan menjejaki pesalah trafik di rumah, Mohd Fuad berkata, pihaknya belum mengambil tindakan itu berikutan mendapat kerjasama baik daripada pesalah trafik.

Disiarkan pada: May 27, 2015 @ 8:52am
d