mutakhir

Pelaburan KWSP patuh syariah

Kuala Lumpur: Garis panduan dan polisi pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mematuhi mandat etika dan tidak bercampur dalam sektor dikategorikan tidak beretika seperti saham perjudian dan arak, pembuatan dan penjualan senjata untuk peperangan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, KWSP juga tidak melabur dalam pelaburan saham yang mempunyai pendedahan dan kepentingan dalam negara yang tiada hubungan diplomasi dengan Malaysia seperti Israel.

“Ruang untuk pelaburan berlandaskan syariah bergantung penawaran di pasaran dan KWSP sentiasa memperkembangkan pelaburannya dalam instrumen berlandaskan syariah selaras dan mematuhi Akta KWSP 1991.

“Setakat Disember 2014, 40 peratus atau RM250 bilion aset pelaburannya dalam pelaburan berlandaskan syariah,” katanya.

Beliau menjawab soalan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam sama ada KWSP berhasrat menetapkan duit pencarum muslim hanya dilaburkan ke dalam portfolio pelaburan patuh syariah saja.

Ahmad berkata, simpanan KWSP untuk semua pekerja di negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan kewarganegaraan.

“Secara dasarnya pelaburan KWSP tidak diasingkan mengikut agama, bangsa dan kewarganegaraan ahli. Pengagihan dividen juga berlandaskan pendapatan kumulatif daripada instrumen pelaburan islamik dan konvensional,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2015 @ 9:34am
d